3 September, 2014
Manusia mana yang tidak pernah merasa jatuh dan gagal dalam kehidupan yang bersifat sementara ini. Mungkin kita sendiri pernah mengalaminya bahkan kejayaan bukan suatu hal yang kita dapatkan dengan mudah.
Kejayaan memerlukan pengorbanan sesungguhnya terkadang kita menemui hambatan diperjalanan, bahkan terkadang kita akan dihadang oleh sebuah kegagalan saat berusaha.
Lalu bagaimana jika kita sudah menemui sebuah kegagalan? Haruskah kita berhenti untuk memperjuangkan kejayaan yang kita kejar? Haruskah kita menyerah untuk meraih kejayaan tersebut?
Tentu saja tidak. Kegagalan merupakan sebuah bagian dari kejayaan.
Apa menariknya kehidupan jika segala yang kita inginkan kita dapatkan dengan mudah.
Bangkit dari kegagalan
“Satu yang perlu ditanam dalam diri setiap individu itu ialah sifat tidak berputus asa terutama sekali kepada pelajar-pelajar belia harapan kita. Terkadang baru saja gagal dalam satu mata pelajaran sudah mula putus asa. Itu adalah salah sama sekali,” jelas Hjh Norimah Hj Dani seorang guru matematik di sebuah sekolah swasta di Brunei.
Tambah beliau lagi, “Perlu diberikan didikan dan galakkan yang baik kepada mereka yang bergelar pelajar ini kerana mereka masih muda dan jiwa mereka pun masih sensitif. Selaku seorang guru ini memang tidak lepas berdepan dengan mereka yang pernah mengalami kegagalan ini. Bukan seorang tetapi ramai, disebabkan itu kita haruslah sama-sama berganding bahu membangkitkan semangat mereka ini untuk mencapai kejayaan.”
Tanamkan sifat positif dalam hidup
Menghadapi kegagalan atau kekalahan harus dengan cara yang positif dan terbuka. Sikap positif akan menyerlahkan kewibawaan kita dalam berfikir dan bertindak. Kegagalan merupakan ujian Allah (SWT) bagi memantapkan cara fikir dan sikap kita untuk menghasilkan kejayaan yang lebih cemerlang dari sebelumnya.
“Jangan malu jika pernah gagal. Setiap orang menghadapinya. Malu mengakibatkan rasa putus asa wujud dalam diri yang memberi kesan mendalam. Kemurungan, sedih hati dan bimbang diketawakan oleh orang lain tidak membawa kita kemana-mana. Malah semakin merumitkan keadaan,” terang Hj Md Yusman Hj Yussof kepada The Brunei Times.
“Tiada manfaat yang diperolehi jika terbawa-bawa dengan kesedihan. Seolah-olah semua orang tahu bahawa kita adalah orang yang gagal dan tidak layak untuk merasai kejayaan. Itu cuma perasaan rendah diri yang telah membungkus keyakinan kita,” tambah beliau lagi.
“Sikap begini memberi isyarat bahawa kita tidak dapat bangun dari kegagalan. Tidak ada ruang bangkit semula mencapai kejayaan seterusnya. Jika ini difikirkan, kita sudah menyerah kalah sebelum mencuba untuk kesekian kalinya.”
“Kita telah merendahkan potensi diri. Tidak menghargai usaha yang belum direncana untuk diambil tindakan. Bermakna kita kalah sebelum masa. Tewas sebelum berjuang. Mati sebelum takdirnya.”
Oleh itu pentingnya untuk kita semua menanam sifat dan nilai yang positif dalam hidup bagi dapat bersama-sama mereliasasikan harapan dan keinginan kita untuk menjadi seorang yang berjaya.
Belajar dari kesilapan yang lalu?
“Gagal sekali tidak bermakna gagal untuk selamanya. Gagal memberi peluang untuk kita menilai diri dan mencari sebab kegagalan yang dilakukan. Tidak ada manusia yang selamat dari kegagalan. Kejayaan hanya dicapai setelah kegagalan ditempuh dan diteliti sebab dan musababnya,” terang Nabihah Hj Hassan, mahasiswi tahun akhir Universiti Islam Sultan Syarif Ali (UNISSA).
Tambah belia yang berusia 24 tahun ini, “Namun begitu, hakikat kehidupan kita lebih banyak mengalami kejayaan daripada kegagalan. Cuma kita kurang meneliti kejayaan-kejayaan kecil yang membawa kepada kejayaan besar dalam kehidupan kita seharian. Kejayaan yang sudah dicapai biasanya menjadi gagal untuk dikekalkan apabila semangat tidak konsisten dan tidak yakin diri.”
“Tidak semua yang kita mahu itu tercapai dalam sekelip mata. Malah ada yang bertahun-tahun baru mengecapi kejayaan setelah melakukan kajian dan eksperimen berpuluh kali.”
Kadang kala, setelah bersungguh-sungguh berusaha apa yang kita lakukan tidak mencapai hasil yang diingini. Kerana itu, sikap optimis sangat memacu kepada kejayaan. Kejayaan hanya dapat diraih oleh orang yang bersemangat waja.
Jika kita tidak mengerti dan menyedari hakikat mengapa adanya kegagalan dalam hidup tentu kita tidak akan pernah menemui kejayaan yang lebih gemilang di sebalik kegagalan tersebut. Bangkitlah dari kuburan fikiran yang pesimis menuju gelanggang kejayaan dengan mengoptimiskan masa depan.
Hidup perlu perjuangan
Jadikanlah kegagalan sebagai guru yang baik. Sebuah permata pun harus ditempa berkali-kali sampai akhirnya dia bisa mengeluarkan pancaran sinar yang paling bercahaya.
Untuk itu anggaplah kegagalan sebagai cara kita untuk menempa diri sehingga kita bisa mengambil pelajaran dari setiap kegagalan yang telah dilakukan.
Ambil lah hikmah dari setiap kegagalan yang telah dilalui. Selalu berpikiran positif dan menjadikannya sebuah pelajaran bagi kehidupan yang akan datang sehingga kita bisa menjadi peribadi yang lebih kuat dan juga tangguh.
Tanamkan dalam diri anda bahawa kegagalan bukanlah sesuatu yang harus ditangisi atau diratapi. Kegagalan merupakan sebuah jalan yang sudah diatur oleh Allah (SWT) agar kita boleh mendapatkan kesuksesan dengan lebih sempurna.
Selain itu, kegagalan juga merupakan sebuah ujian yang diberikan oleh Allah (SWT) adalah untuk mengukur kesabaran seseorang sebelum dia meraih keberhasilannya.
Jadi sudah selayaknya kegagalan dijadikan sebuah motivasi oleh seseorang untuk tetap berusaha dalam mengejar apa yang diinginkannya. Jangan pernah menyerah saat menemui hambatan serta kegagalan dalam prosesnya.
Jadikanlah kegagalan sebagai sarana untuk belajar. Bagi orang-orang yang memahami bahwa dalam sebuah kesuksesan pasti akan melalui sebuah proses maka mereka akan menganggap bahwa kegagalan merupakan bagian dari proses tersebut. Inilah yang akan membuat keberhasilannya menjadi lebih sempurna. Hakikatnya, hidup haruslah ditempuh dengan perjuangan yang keras.
Raghadah Agus
Saturday, August 30, 2014
The Brunei Times
BANDAR SERI BEGAWAN